“Saya tak kesal tampar David Teo… mahu ajar dia cara beradab”

Penuh timeline di laman sosial pagi ini dengan video insiden pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) Datuk David Teo ditampar pelakon veteran Sulaiman Yassin yang dikenali sebagai Mat Over kerana dikatakan bersikap ‘kurang ajar’ di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika Mat Over ditanya mengenai kejadian itu, dia nyata tidak menyesal dengan tindakannya.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.”

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” kata pelakon dan pelawak tersebut.

Sulaiman Yassin/Mat Over

Dalam Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Segmen Penggiat Seni di Dewan Bankuet, Seri Perdana, David Teo dikatakan tidak berpuas hati dengan cara Datuk Rosyam Nor selaku moderator yang tidak memberikan peluang kepada penonton yang duduk di barisan belakang.

Rosyam yang cuba mengawal keadaan memberikan David Teo selama seminit untuk menanyakan soalan namun sebelum sempat David menghabiskan pantunnya, Mat Over telah datang meluru dan menampar mukanya.

Menurut Datuk Aznil Hj Nawawi yang menyaksikan kejadian itu mengatakan rata-rata rakan artis merasa terkejut dengan kejadian itu.

“Semua yang berada di dalam program itu berada dalam keadaan terkejut. Perdana Menteri pun berada dalam keadaan terkejut. Namun Rosyam cuba mengawal keadaan tersebut dengan baik,” katanya.

Selepas insiden tersebut, Aznil berkata Mat Over dan David Teo telah dibawa keluar dari dewan itu.

Di sebalik kekecohan itu, Najib dan Rosyam tetap meneruskan dialog sehingga ke penghujung acara sehinggalah David dan Mat Over dibawa masuk semula ke dalam dewan untuk bertemu Najib bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.

Datuk David Teo dan pelakon Sulaiman Yassin dilihat berdamai di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Moderator Datuk Rosyam Nor./Foto Bernama

Mereka berdamai dengan bersalaman sambil disaksikan Najib dan Rosyam. David dan Mat Over turut bersalaman dengan Najib dan Rosyam.

Video: