Pengacara hina ayah Watson Nyambek digantung kerja

MIRI: Pengacara rancangan komedi, Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan bersama enam kru penerbitan digantung perkhidmatan oleh syarikat televisyen swasta, Primeworks Studios Sdn Bhd berkuatkuasa serta merta pada hari ini.

Tindakan itu diambil berikutan isu penghinaan yang dilakukan terhadap ayah bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Dalam sidang media yang diadakan di Miri, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar bersama-sama pengacara itu memohon maaf secara terbuka di hadapan bekas pelari pecut negara Watson Nyambek. Beliau juga mengatakan rancangan Sukan Tak Sentral itu turut ditamatkan siarannya.

Jelas beliau, tempoh penggantungan tugas enam krew penerbitan akan diputuskan kemudian.

“Saya mohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan kerana menyinggung perasaan keluarga Watson dan rakyat Sarawak,” Tambah beliau di sini, sebentar tadi.

Azizul Ammar yang turut hadir dalam sidang media itu menyatakan kekesalan atas tindakannya. Dalam masa yang sama, Watson pula menolak permohonan maaf daripada Primeworks Studios Sdn Bhd berhubung insiden nama bapanya dipersendakan.

“Walaupun anda meminta maaf di depan saya dan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sarawak, (tapi) saya belum nak menerima maaf tersebut kerana saya tidak dapat menerima macam mana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan”. jelas Watson yang bercadang meneruskan tindakan undang-undang.

Dalam rancangan Sukan Tak Sentral itu, Pengacara Azizul Ammar Abu Hassan membuat mimik muka dan suara seperti seekor kambing ketika menyebut nama ayah Watson Nyambek.

Gambar: Bharian.